Wednesday 27 September 2017


SOALAN:Bincangkan Sistem Politik Masyarakat Melayu Tradisional Sebelum Campurtangan
British.

       Sistem politik masyarakat Melayu tradisional sebelum campur tangan British dibahagikan kepada tiga
unit politik yang utama. Unit politik yang paling besar ialah negeri yang diketuai oleh seorang raja, sultan
ataupun Yang Dipertuan Besar. Ini diikuti oleh unit politik seterusnya, iaitu daerah yang diketuai oleh
seorang pembesar daerah. Unit politik yang paling kecil ialah kampung yang diketuai oleh seorang
penghulu atau penggawa.
Dalam sistem politik masyarakat Melayu tradisional, unit politik yang paling besar ialah negeri. Pada
abad ke-19, negeri merujuk kepada satu kawasan yang merdeka di bawah pemerintahnya sendiri. Secara
umumnya, sesebuah negeri tertaluk di kawasan muara sungai besar. Kedudukan yang strategik ini sangat
berguna untuk membolehkan seseorang pemerintah mengawal setiap pergerakan keluar masuk penduduk
ataupun pedagang luar.
 Negeri dikawal oleh seseorang pemerintah yang biasanya digelar Raja, Sultan ataupun Yang
Dipertuan Besar mengikut negeri masing-masing. Contohnya, gelaran Raja digunakan untuk negeri Perlis
dan gelaran Yang Dipertuan Besar untuk Negeri Sembilan. Negeri-negeri Melayu yang lain menggunakan
gelaran sultan. Mereka merupakan pemimpin negeri yang paling penting. Mereka berfungsi sebagai
lambang perpadauan rakyat serta kebajikan negeri. Mereka selalunya dibantu oleh kerabat diraja ataupun
sekumpulan pembesar.
 Mereka mempunyai keistimewaan tertentu untuk bezakan daripada rakyat biasa. Misalnya, warna
kuning, cop mohor, permainan nobat, penggunaan bahasa istana, serta alat kebesaran yang hanya dikhaskan
untuk mereka. Rakyat biasa tidak dibenarkan sama sekali menggunakannya. Kesemua benda ini adalah
untuk mengukuhkan kedaulatan mereka sebagai ketua unit politik negeri. Mereka adalah lambang
perpaduan rakyat. Oleh sebab konsep daulat dan derkaha, rakyat sentiasa menjalankan perintah mereka
tanpa sebarang persoalan. Rakyat tidak berani menderhaka kerana takut akan terkena tulah. Rakyat sangat
taat kepada mereka.
 Unit politik yang kedua ialah daerah. Daerah merupakan kawasan yang dihadkan oleh
penggunaan sungai sebagai alat perhubungan. Sesebuah daerah mungkin meliputi sebelah atau kedua-dua
belah tebing sungai negeri itu. Unit politik daerah selalunya diletakkan dibawah kawalan seorang
pemerintah yang bergelar pembesar daerah. Pembesar daerah ini akan membentuk satu kumpulan
pemerintah yang bersatu bagi seluruh negeri.
 Pembesar daerah ini diberikan kuasa mentadbir oleh Sultan yang memerintah negeri tersebut
melalui surat tauliah. Penganugerahan kawasan pentadbiran ini merupakan ini merupakan satu cara Sultan
mengukuhkan sokongan pembesar daerah terhadap baginda. Selain mentadbir, pembesar daerah mejalankan
tugas menjaga keamanan dan keselamatan daerah, mengutip cukai, menjalankan perdagangan, dan
merupakan penghubung antara rakyat biasa dengan Sultan.
 Terdapat juga pembesar daerah yang mempunyai kuasa politik yang jauh lebih besar daripada Sultan
sendiri. Sebagi contoh, pembesar di Negeri Perak yang terlalu berkuasa disebabkan kekayaan ekonomi
mereka. Majlis Pembesar Negeri Perak terlalu berpengaruh sehingga pembesar daerah boleh campur tangan
dalam sistem pewarisan takhta negeri Perak. Mereka boleh meletakkan calon sendiri ataupun mengenepikan
seseorang calon. Walau bagaimanapun, pembesar daerah yang dilantik oleh Sultan tetap memerlukan
institusi kesultanan kerana mereka memerlukan sokongan Sultan untuk penganugerahan lencana dan gelaran Unit politik yang paling kecil ialah kampung. Sesebuah kampong boleh merupakan satu unit
penguasaan politik, tempat tinggal biasa, atau sebagai satu unit kerjasama ekonomi dan kekeluargaan. Ketua
kampong ialah penggawa atau penghulu kecuali di Negeri Sembilan. Ketua Kampung ini merupakan orang
yang penting kerana mereka merupakan orang perantaraan antara orang kampong dengan pembesar
daerah. Mereka selalunya dipilih daripada golongan rakyat yang mempunyai darjat yang lebih tinggi. Ketua
kampong dicalonkan oleh pembesar daerah dan Sultan akan melantik mereka melalui surat tauliah.
 Ketua kampung menjalankan tugas menjaga keamanan dan keselematan kampong. Mereka juga akan
mengutip cukai dan membekalkan tenaga kerah bagi pembesar daerah atau Sultan semasa
peperangan. Merekalah yang mendorong rakyat untuk taat setia kepada pemerintah. Biasanya, orang
kampung lebih rapat dengan ketua kampung berbanding pembesar daerah.


Sistem politik masyarakat Melayu tradisional sebelum campur tangan British sememangnya kemas
dan teratur dengan lapisannya yang mencerminkan kedudukan dan tanggungjawab pemerintahan
sendiri. Setiap unit politik ini saling melengkapi dan saling bergantung antara satu sama lain dalam
menjalankan tugas. Namun, sistem politik ini melalui banyak perubahan selepas British campur
tangan. Misalnya, tanggungjawab pembesar daerah telah diambil oleh pegawai daerah yang merupakan pegawai British.

Oleh : SHAHRUL NIZAM BIN SUHAIMI
            SMK DATO ONN